10 Aktiviti Rangsang Fizikal & Mental Anak Genius
Kanak-kanak dan bermain memang tak boleh dipisahkan. Tetapi dalam masa
yang sama, sebagai ibu ayah kita perlu juga memupuk minat untuk mereka
belajar. Tetapi jangan pula memaksa si kecil untuk belajar seperti
kanak-kanak yang sudah ke sekolah rendah. Belajar tidak semestinya
terperuk dalam bilik dan menghadap buku semata-mata.
Ada banyak cara pembelajaran si manja yang boleh anda lakukan. Malahan
tanpa disedari aktiviti luar rumah yang menyeronokkan juga mampu
merangsang fizikal dan mental anak membesar sebagai anak sihat dan
cerdas.
1. Jom berseronok di taman permainan
Biarkan si kecil berlari bebas dan mencuba pelbagai alat permainan yang
ada di taman permainan. Aktiviti ini mampu menguatkan badan dan
ototnya.Selain itu anak juga belajar kemahiran sosial apabila berjumpa
dengan rakan sebaya.
2. Kulihat hijau
Dengan sekadar bersiar-siar dan berjalan pada waktu petang di halaman
rumah atau kawasan sekitar rumah anda sambil belajar mengenali pelbagai
pokok yang ada juga satu cara si kecil belajar. Ajak anak sentuh dan
hidu bau pokok, bunga dan embun pagi yang ada di halaman rumah. Biarkan
anak anda terdedah kepada pancaran cahaya matahari (pagi lebih selamat)
dan hembusan bayi yang pasti memberikan dia pengalaman baru.
3. Berenang
Kanak-kanak memang suka bermain air. Apa kata gunakan cuti hujung
minggu dengan membawa anak ke kolam renang. Mereka tentu seronok belajar
berenang selain aktiviti renang membantu menguatkan sistem
kardio-respiratori, menambah stamina dan menguatkan sendi. Selain
kecergasan badan, ia membantu meningkatkan keyakinan diri.
4. Bermain pasir pantai
Sesekali biarkan anak bermain pasir di tepi pantai. Pasir mempunyai
tekstur halus dan akan merangsang deria sentuhan, kemahiran mata -
tangan. Aktiviti membina istana pasir akan menggalakkan si manja
berimaginasi dan mereka cipta. Malah ia membantu meningkatkan daya
kreatif kanak-kanak apabila mencipta pelbagai bentuk daripada pasir.
5. Berkebun
Jika anda ada halaman rumah, rajinkan diri untuk berkebun. Selain
menyihatkan tubuh badan, aktiviti berkebun juga mengajar si cilik erti
tanggungjawab, disiplin tanpa perlu dipaksa, menghargai alam semula
jadi, mempelajari sains dan pek kepada alam semula jadi. Dengan
berkebun, ia mengajar anak erti tanggungjawab untuk menjaga pokok-pokok
dengan menyiramnya. Malahan ia meningkatkan keyakinan diri apabila dia
menyaksikan pertumbuhan pokok tersebut di samping menambah ilmu
pengetahuan anak tentang pokok.
6. Bermain belon
Warna warni belon memang mengujakan kanak-kanak. Belon adalah mainan
yang murah tetapi memberikan keriangan kepada si manja. Aktiviti ini
dapat meningkatkan kemahiran motor kasar dan koordinasi mata - tangan
anak. Menepuk belon kepada orang lain akan meningkatkan kemahiran
komunikasi dan sosial si manja.
7. Bermain bola
Bermain bola memang sinonim dengan anak lelaki. Tetapi si anak
perempuan juga boleh bermain bola bersama. Aktiviti ini dapat
mengeluarkan peluh dan menyihatkan tubuh badan. Anda boleh membaling
bola kecil kepada si manja dan menyuruhnya menyambut bola serta
memasukkan ke dalam bakul. Permainan ini dapat melatih kemahiran otot
tangan dan koordinasi mata - tangan anak di samping menambah daya
intelek anak menerusi pemahaman peraturan permainan.
8. Melukis di luar
Mungkin melukis di dalam rumah anak akan berasa bosan, jadi apa kata
sesekali bawa anak ke taman dan berikan pensil, warna dan kertas
kepadanya. Biarkan si kecil melukis apa sahaja yang terlintas di
fikirannya. Cara ini membantu merangsang daya kreativiti dan imaginasi
kanak-kanak. Kemudian tanya kepada anak tentang hasil lukisannya dan
jangan lupa berikan pujian dan kata-kata positif. Ini dapat meningkatkan
imaginasi, kemahiran otot tangan dan keupayaan pertuturan serta tata
bahasa si manja dalam menerangkan apa yang dilukisnya.
9. Bermain dengan haiwan peliharaan
Kanak-kanak suka kepada haiwan. Jika mendedahkan mereka bermain dengan
haiwan peliharaan kanak-kanak belajar untuk bertanggungjawab dan
menyayangi haiwan. Aktiviti ini melatih pelbagai aspek kognitif, sosial,
emosi dan fizikal. Pemerhatian dan penyeliaan ibu bapa diperlukan
supaya anak mencapai potensi optimum dalam dirinya.
10. Membeli belah bersama
Bawalah si kecil membeli barangan keperluan rumah bersama. Dedahkan dia
kepada cara membeli belah yang bijaksana tanpa perlu membazir.
Terangkan apa tujuan dan kenapa membeli sesuatu barangan itu. Ini
membantu menambah pengetahuannya. Anda boleh menyuruhnya mengira jumlah
barangan yang dibeli dan mengingat apa barangan rumah yang diperlukan.
Secara tidak langsung ini dapat mengajarnya bertanggungjawab. Bagi yang
beragama Islam, beri pendedahan kepada anak mengenai kepentingan logo
HALAL yang mesti ada sebelum memilih apa jua barangan.
Source : PaMa
Comments
Post a Comment